Bekas ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim sebentar tadi telah membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berhubung isu penamatan kontraknya.

Menurut Adam Yap yang mewakili Lim Teong Kim sebagai peguamnya, pemecatan pada 26 Mei itu dianggap pra-matang kerana ia dibuat hanya selepas enam bulan di mana kontrak keseluruhan adalah selama dua tahun.

Sehubungan dengan itu, Teong Kim yang sinonim dengan pembangunan akar umbi mengakui keputusan itu dibuat hanya untuk menuntut haknya untuk baki tempoh 16 bulan lagi.

Beliau juga dalam pada itu turut mengakui mahu meninggalkan Perak dengan cara baik walaupun jodohnya bersama pasukan tidak lama.

“Saya bukannya hendak saman sesiapa tetapi hanyalah untuk menuntut hak saya,” ujar Lim Teong Kim bercakap kepada wartawan dalam satu sidang media di Ipoh, pagi tadi.

“Saya datang ke Perak FC dengan baik dan saya juga nak tinggalkan Perak dengan cara baik. Saya tiada niat yang jahat. Saya seorang ahli sukan, saya berkelakuan seperti ahli sukan, itu sahaja.”

“Ia merupakan satu perkara yang normal. Ada jurulatih yang lakukan perkara seperti ini [menuntut hak berkaitan kontrak] di Bayern Munich, jurulatih Chelsea pun kena pecat. Jadi, ia tiada apa-apa.”

“Saya fikir ia bukan kerana saya sahaja. Saya tiada rasa ego, saya terima banyak pencapaian dalam karier bola sepak. Jadi perkara ini [dipecat] adalah sebahagian daripada bola sepak,” tambah Datuk Lim Teong Kim lagi.